Disember 1980, aku ke USM, Pulau Pinang untuk satu temuduga. Hari itu aku ditemani rakan karib teman sekelas, Aziyan. Malam sebelumnya, aku bermalam di rumah Aziyan kerana kami perlu bertolak pagi2 untuk sampai sebelum 11.00 pagi. Walaupun agak gementar berdepan dengan tiga orang penemuduga segala soalan yang diajukan dapat ku jawab dengan baik. Januari 1980, aku telah ditawarkan Jawatan Pembantu Makmal di Makmal Kimia. Sewaktu melaporkan diri aku berkenalan dengan Kak Halimah dari Kluang, Johor. Aku menyatakan hasrat untuk mencari rumah atau bilik untuk disewa memandangkan waktu itu aku menumpang di rumah seorang sepupu yang telah berkahwin dan mempunyai ahli keluarga yang ramai. Aku dikenalkan dengan Zawati yang mencari teman sebilik. Seminggu kemudian aku berpindah masuk ke bilik yang beliau sewa di rumah sepasang suami isteri di Batu Uban, jarak lebih kurang 700 meter dari pintu dua USM. Aku selesa dan gembira tinggal bersama Zawati, mami dan mamak. pemandangan laut luas yang hanya 10 meter dari beranda rumah, suasana yang sangat berbeza dari kampung ku yang di kelilingi bukit-bukau. Namun sama2 memberi ketenangan dan kedamaian. Kami hanya dikenakan bayaran RM 100 sebulan termasuk makan pagi dan malam. Di tempat kerja, aku ditempatkan di makmal kimia organik. Setelah diberi latihan selama seminggu kami bersedia untuk menjalankan tugas. Aku di selia oleh Abang Abdul Rahman dan Abang Jamal yang peramah dan kelakar. Kak Halimah menjadi rakan karib di tempat kerja, kerana walaupun bertugas di makmal berbeza namun kami selalu keluar makan dan sekali sekala melawat makmal masing2 waktu kelapangan, kalau tidak pun bersembang di interkom. lebih2 lagi semasa kami mula bertugas pelajar sedang bercuti jadi tidak banyak kerja yang perlu kami lakukan. Tiga bulan berlalu, satu hari aku mendapat telegram supaya aku pulang ke kampung hujung minggu tersebut. Rupa2nya aku mendapat tawaran ke Maktab Perguruan Kinta, Ipoh dan perlu melaporkan diri pada 2 Mei. Hati berbelah bagi, aku agak berat untuk meninggalkan jawatan dan rakan2 di Pulau Pinang. Walaubagaimanapun atas desakan ibu dan ayah aku akhirnya meninggalkan USM yang menyimpan seribu kenangan manis dan tempat di mana aku belajar menjadi dewasa.
No comments:
Post a Comment